Orang Yang Mati Hati Lebih Bahaya Dari Mati Jasad
Amat menarik tajuk ini untuk dikongsikan kepada semua. Tajuknya pun sekali baca sudah rasa takut. Betul Tak ??? Ok Ratu mula kongsikan petikan yang Ratu baca ini.
Suatu hari, Imam Fath Al-Musili berkata kepada anak-anak didiknya, "Bukankah seorang pesakit jika tidak diberi makan, minum dan ubat selama 3 hari ia akan mati?' Anak didiknya menjawab "Ya." Guru yang bijak ini melanjutkan: "Begitu juga hati kita. Jika tidak diberikan ilmu dan dan hikmah selama 3 hari, ia akan mati."
Setiap amalan bersumber daripada hati. Hati yang baik akan melahirkan perbuatan yang baik. Dan hati yang rosak akan melahirkan perbuatan yang buruk. Meskipun ia melakukan kebaikan, namun tersimpan niat buruk di sebaliknya. Oleh itu, hati sangat menentukan kualiti amalan seseorang. Rasulullah SAW bersabda: Ketahuilah, sesungguhnya di dalam tubuh manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasad. Dan apabila ianya rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah, daging itu adalah hati (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Hati manusia sangat ajaib. Ia selalu berubah-ubah dan sangat mudah dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran. Apa-apa yang dilihat ataupun didengar ianya mampu merubah suasana hati. Sebagaimana tubuh badan, hati boleh sihat ataupun sakit. Tanda hati yang sihat adalah ia giat melakukan ibadat dan amalan kebajikan. Setiap amalan ibadah dan zikir terasa nikmat untuk dikecapi.
Bagaimana pula hati yang tengah sakit? Hati yang tengah sakit, ia tidak merasakan manisnya ibadat. Ia tidak tahan berlama-lama dalam aktiviti ibadah. Sebaliknya, ia sangat seronok melakukan maksiat. Imam Tabiin di Basrah yang bernama Hasan Al-Basri pernah mengajarkan teknik semak kesihatan hati. Beliau berkata: "Rasakanlah kemanisan dalam 3 perkara : ketika melakukan solat, membaca Al-Quran dan ketika berzikir. Jika engkau merasakannya, maka bergembiralah. Namun, jika kau tidak merasakannya, maka ketahuilah bahawa pintu hatimu telah tertutup".
Hati orang kebanyakan seperti kita tidak berapa sihat. Kita sedari ataupun tidak, pelbagai penyakit tersimpan di dalam hati kita seperti hasad dengki, dendam, tamak, kedekut, meragukan janji Allah dan lain-lain. Tingkatan sakit itu berbeza-beza mengikut situasi.
Oleh itu, kita perlu segera mengubati hati kita. Ubat hati adalah hikmah dan ilmu yang memperkenalkan tuhannya, hakikat dirinya dan tugasan yang mesti ia lakukan di dunia sebagai hamba Allah. Semua itu boleh didapatkan apabila kita bercampur dengan orang-orang yang "berhati sihat."
Berkata Ibrahim Al-Khawas, "Ubat hati 5 perkara: Membaca Al-Quran sambil memahami maknanya, mengosongkan perut, solat malam, berdoa pada waktu fajar dan bergaul dengan orang-orang yang soleh"
Jika kita tidak segera mengubati hati yang sakit, ia akan terus sakit. Suatu hati nanti, ianya bahkan boleh mati. Ianya bersesuaian dengan tajuk kali ini yang mana orang yang mati hati lebih berbahaya daripada mati jasad.
Sebab orang yang mati jasad boleh dikuburkan. Orang yang mati hati akan menjadi sampah masyarakat. Ia menganggu kehidupan masyarakat dan tidak boleh dibuang ataupun ditanam.
Tatapan dari,